Let The Magic Begin

Welcome to Hogwarts

Isnin, 10 Disember 2012

Diary of Short Story: From Points to A Novel

Dear Diary,

Sengaja kucoret entri kali ini sebagai suatu garapan idea yang telah lama aku impikan. Menulis novelku sendiri, tetapi ia masih jauh lagi. Namun plot yang aku kisahkan masih memerlukan pemerhatian. Kisah yang kugarap di dalam plot ini sememangnya 50-50, realiti yang dicampur dengan fantasi. Perempuan terlalu sensitif hatinya, apa lagi bila dirinya dipersia hanya kerana dirinya tidak berharta.

********************************************

Bunyi air yang mendidih di dalam belanga menggamit cuping telinga Elena. Aroma ikan pari asam pedas di dalam belanga tersebut memenuhi ruang dapur. Elena masih lagi memotong sayur sawi. Tenang sahaja walau hatinya masih terasa perit. Tidak sampai sejam yang lalu emak mertuanya datang ke dapur, memberitahu dengan bangganya dia akan mempunyai seorang menantu baru. Bila ditanya apakah Haziq yang akan berkahwin, Datin Kamsiah menjawab "suami kau lah. Haziq tu masih muda lagi". Jantung Elena bagaikan berhenti berdegup. Terasa dunia sekelilingnya suram. Ditahan saja air mata yang mahu mengalir. Datin Kamsiah tersenyum puas. 

"Kalau bukan kerana arwah suami aku begitu mahu bermenantukan kau, tak ingin aku bagi anak aku kahwin dengan perempuan miskin macam kau tahu?" begitu lantang Datin Kamsiah bersuara. Dia bercekak pinggang, kelihatan begitu angkuh walau dalam busana kebaya yang dipakainya. Ya, Elena sedar perkahwinan itu merupakan perjanjian di antara arwah Datuk Iskandar dengan ayahnya. Dulu ayahnya merupakan pemandu peribadi Datuk Iskandar. Tapi sejak arwah meninggal dunia, ayahnya bersara dari pekerjaan itu. 

"Tapi mak..." tersekat bait-bait yang mahu diterangkan oleh Elena bila direnung tajam oleh Datin Kamsiah. 

"Aku tak kira. Kau suka atau tidak, kau mesti terima!" begitu tegas Datin Kamsiah memberi kata putus. Elena melihat suaminya menapak ke dapur. Suaminya, Hazlan, yang tidak pernah menyentuhnya sejak mereka berkahwin sejak enam bulan yang lalu. Dia akur, bukan mudah untuk membina cinta terhadap orang yang dia baru kenali, yang hanya dilihat selepas dinikahi. Apatah lagi orang itu juga menaruh perasaan suka pada perempuan lain yang lebih hebat dari Elena dan sedarjat dengannya. Elena? hanya kenangan masa lalu sahaja yang menemaninya. Perkahwinan yang dirancang memaksa dirinya melupakan seseorang. Perginya insan tersebut dalam keadaan hati yang walang bercampur duka. Elena tidak mampu menahannya. 

"Kenapa ni mak?" tanya Hazlan kepada emaknya. Datin Kamsiah hanya menjuihkan bibirnya. 

"Ni hah. Aku bagitahu pasal engkau nak kahwin lain dia pulak tertapi-tapi. Memang dasar perempuan miskin!" Datin Kamsiah menjeling Elena. Hati Elena runtun, terasa hangat pipinya ketika itu menahan malu dihina sedemikian rupa. Hazlan kini memandangnya tajam.

"Hai.. aku nak kahwin suka hati aku lah. Kau tu, layak jadi orang gaji di rumah ni saja. Tolong lah, entah apa yang kau dan bapak engkau bagi dekat arwah ayah aku sampai dia tulis wasiat yang aku perlu kahwin dengan kau pulak. Kau tahu tak, Lisa bagiku terlalu istimewa. Setiausaha syarikat ternama dan bakal menggantikan ayahnya sebagai CEO. Beruntung benar aku, bakal dapat isteri macam tu. Engkau apa tahu? Entah sampai takat mana pelajaran engkau. Tapi aku tak kisah, sebab muka engkau muka orang gaji! Layak jadi orang gaji! Faham??" Hazlan pula menyakiti hati Elena. Elena terkaku, langsung tidak menyangka Hazlan begitu sampai hati terhadapnya. 

"Hazlan..." begitu lirih suara Elena namun Hazlan memandangnya dengan muka yang menyinga. 

"Pandai pula kau sebut nama aku ya? Panggil aku tuan, jangan mengada-ngada" arah Hazlan angkuh.

Elena terdiam. Datin Kamsiah tersenyum puas. Ya, hatinya puas kerana menantunya itu tidak melawan. Seterusnya bolehlah dia berbesan dengan jutawan yang terkenal, Datuk Razlan. Isteri Datuk Razlan, Datin Rokiah itulah sahabat karibnya sewaktu di universiti dulu. Mereka berdua pernah digelar "puteri kampus" lantaran ramai anak-anak orang ternama yang tertarik pada mereka. 

"Mak, tolonglah jangan buat saya macam ni" suara Elena serak. Air mata yang mula bertakung di dalam kelopak matanya mulai terasa berat. 

"Eh..pandai pulak kau mengarahkan aku ya? Apa kau ingat, kau bini Hazlan yang pertama kau boleh buat sesuka hati? Aku lagi suka kalau Hazlan ceraikan kau" pedihnya kata-kata Datin Kamsiah ditujukan terus kepadanya.

"Tak boleh mak. Nanti kalau Hazlan ceraikan dia, peguam arwah ayah tarik balik pembahagian harta yang tinggal pada kita. Kan betina ni dapat separuh?" kata Hazlan separuh berbisik, tetapi masih dapat didengari oleh Elena. Datin Kamsiah mengangguk. Luluh hatinya bila Hazlan sendiri yang dua tahun lebih tua daripadanya boleh berfikiran begitu. Dia begitu mengejar kekayaan dunia, sehingga sanggup melukakan hati Elena yang kini hanya bergantung harap padanya. 

"Tapi kau jangan harap dapat pijak bilik aku. Kau, tidur di sana saja mulai malam ini" arah Hazlan sambil menunjukkan bilik stor di sebelah almari pinggan. Selepas berkata demikian, dia membimbing emaknya keluar dari dapur sambil berkata "Hari ini aku dan mak nak makan kat luar. Kau makan lah masakan kau tu. Aku tak perlu masakan kau hari ni sebab aku nak jumpa dengan buah hati aku. Lisa...". Elena terduduk di dapur. Sendirian sambil membersihkan sawi yang telah habis dipotongnya dan mematikan api yang memasak ikan pari tadi, sedikit sebanyak memberikan ruang pada hatinya yang terluka untuk menangis saja. Datin Kamisah dan anaknya sudah keluar. Elena hanya mampu merenung dapur yang kosong. Dia, mencedok nasi ke dalam pinggan tatkala kedengaran salam di pintu hadapan. Elena meletakkan pinggannya, lalu membuka pintu.

"Haziq!" kata Elena riang. Sedikit sebanyak adik iparnya yang berusia 22 tahun itu mengubat dukanya. Beza umur mereka berdua cuma tiga tahun, tetapi Haziq begitu hormat padanya. 

"Kak, minta maaf Haziq pulang tak beritahu sesiapa. Emak dengan abang mana?" tanya Haziq. Senyuman terukir dari wajah lesu itu.

"Mereka keluar. Makan bersama dengan Lisa katanya" jelas Elena, masih lagi tersenyum. Hambar. 

Haziq melihat wajah kakak iparnya itu. Di sebalik senyuman yang selalu dilemparkan kepadanya, dia tahu Elena begitu menderita. Bukan sekali Haziq mendengar abangnya berteriak pada Elena. Bilik mereka yang bersebelahan, memungkinkan Haziq mendengar butir-butir perbualan abangnya.

"HEI! AKU DAH KATA JANGAN MASUK CAMPUR URUSAN AKU! AKU TAK SUKA!"

"Tapi abang, Lisa tu siapa? Saya isteri abang"

"KAU JANGAN INGAT DIRI KAU TU ISTIMEWA SANGAT! LISA TU BAKAL BINI AKU, KAU BERAMBUS SEKARANG!"

Kali terakhir Haziq berada di rumah itu sebelum dia kembali ke universiti ialah kali pertama dia mendengar Elena menangis. Entah kenapa, timbul rasa simpati bila kakak iparnya diperlakukan seperti itu. Haziq beranggapan Elena adalah kakaknya sendiri. Pada petang yang sama, seorang gadis muncul di rumah mereka. Gadis itu yang memakai mekap ala pelakon Hollywood terkenal, berpakaian baju tanpa lengan dan hanya berskirt paras lutut dengan lipstik merah menyala memperkenalkan diri sebagai Lisa. Haziq tidak begitu gemarkan penampilan gadis itu. Padanya, penampilan sebegitu terasa murah. Pelbagai benda hendak ditayang oleh Lisa. Bagaimanakah abangnya boleh terpikat? Cantikkah penampilan Lisa sehingga Elena yang begitu menjaga auratnya walau dengan ipar duai, diketepikan begitu saja?

**************************************

Ini saja yang mampu daku berikan setakat ini...rasa mcm pecah kepala...aduh~

Sebarang komen? cadangan? sila beritahu... :D thank you.