14th Birthday: From A Girl become a Lady (Lyana Ann Jemiri Winterwind) |
Dear Diary,
Entri kali ini mungkin akan menyebabkan orang berkata “kau ni macam playgirl la” padaku. Tapi, aku bukanlah orang macam tu, dan minta dijauhkanlah dari perkara sebegitu. Mak dan bapaku tak pernah mengajarku untuk menjadi orang begitu. Cuma kali ini, aku teringin sekali mencoretkan sesuatu tentang memoriku dan juga seseorang yang pernah sekali kutemui suatu masa dulu. Hal ini tak pernah sedikitpun kuceritakan pada mana-mana rakanku sebelum ini. Sebabnya? Aku juga kurang pasti.
Aku masih ingat lagi, angan-anganku untuk mendaki Gunung Kinabalu pada suatu masa dulu menjadi kenyataan tatkala makcikku mengambil keputusan untuk membawa aku bersama dalam kumpulannya untuk ekspedisi mendaki gunung itu. Pada masa itu, aku hanya berusia 14 tahun. Tanggal 16 Ogos 2004 menjadi detik bersejarah bila mak dan bapaku membenarkan aku untuk turut sama dalam ekspedisi itu. Hari lahirku ke-14 dan hadiah istimewa dari kedua mak dan bapaku ketika itu adalah jaket sejuk (aku tak kisah pun kalau harganya murah, janji hadiah).Ketika itu, kakak sulungku sudah berkahwin dan bekerja. Kakakku itu juga menjadi orang yang bertanggungjawab menjagaku etika ekspedisi. Sudah pastilah (mungkinkah dulu aku nakal???), dia seringkali meleteriku bila aku cuba untuk berenggang dengannya semasa ekspedisi. XD
Dalam masa hampir seminggu aku berjoging mengelilingi kampungku. Sekitar 2.8 kilometer untuk satu pusingan lengkap, aku menghabiskan masa petangku untuk membuat sekurang-kurangnya dua pusingan. Kadangkala, aku mengambil skala 3.5 kilometer (melalui 2 buah kampung dan 2 taman perumahan) untuk aktiviti itu. Tentunya dilakukan pada waktu petang memandangkan pada ketika itu kami bercuti selama dua minggu. Ada sekali, aku ditemani oleh anak-anak saudaraku dan mereka jugalah yang melihat peningkatan masaku ketika itu. Tapi… latihan dalam masa seminggu memang memenatkan. Apa lagi perlu melakukannya dua kali sehari, pagi dan petang.
Aku masih ingat lagi, tanggal 26 Ogos 2004 merupakan hari yang bapaku sendiri menghantar kami ke Check Point batu 32. Bapa memberiku sedikit wang saku, dan aku kembalikan separuh daripada wang itu kepadanya. Bapa memarahiku dan katanya “simpan saja, nanti kau tiada duit. Susah”. Aku langsung tak ambil hati dengan itu, sebab aku tahu bapa mesti risau. Walaupun begitu, aku simpan duit pemberiannya tadi dengan berat hati. Aku cuma risaukan mereka di rumah. Risau memikirkan apalah yang akan dijamah keluargaku sepanjang ketiadaanku nanti. Kakakku, Mak Cik Rafiah dan anak saudaranya serta aku menaiki bas yang menurunkan kami di Pekan Ranau. Seperti biasa, Pekan Ranau memang sangat menarik perhatianku (kerana ia sejuk pada ketika itu). Mak Cikku yang seorang lagi telah menanti kami di Taman Negara Kinabalu. Jadi, kami memutuskan untuk membeli barang-barang keperluan harian dan bahan mentah untuk masakan sebelum menaiki van ke Taman Negara Kinabalu.
Cuaca agak mendung pada petang itu. Deruan angin di kawasan pergunungan sangat jelas kedengaran. Tapi, pejabat am Taman Negara kelihatan sangat hangat. Aku mula tertarik pada tempat itu. Segala kerisauanku hilang begitu saja. Seekor kucing gemuk keperangan melompat di ribaanku, dan ia sangat manja. Ketika itulah, lima orang lagi ahli ekspedisi yang lain tiba. Mereka merupakan ahli keluarga kakak sulungku; anak saudara suaminya. Seorang lelaki yang berambut panjang separas bahu memperkenalkan diri. Namanya Ali. Aku memanggilnya dengan gelaran “Abang Ali” kerana dia lebih tua dariku. Ada dua orang lagi lelaki dari kalangan mereka, tetapi kedua-duanya sangat pendiam. Dua orang lagi adalah gadis yang pada ketika itu berusia 17 dan 18 tahun. Agak lama kami menantikan kehadiran mak cikku yang datang dari Kota Kinabalu. Anak lelakinya telah menghantarnya ke situ pada ketika itu. Sepupuku yang sentiasa ceria itu mula mengusikku, mengatakan aku ini “budak kecik”. Gelaran yang tak pernah padam untukku walaupun kini aku sudah bergelar mahasiswi.
Mak cikku mendaftarkan kesemua ahli ekspedisi sekaligus. Oleh kerana aku sendiri yang memegang kad pengenalanku pada ketika itu, maka mak cikku hanya meminjam kad pengenalan kami semua sebentar saja untuk mengisi borang di kaunter. Aku ingat lagi, kakakku agak terkejut bila aku mengeluarkan kad pengenalan sebenar dari dalam dompetku yang lusuh. Dia mula meleteriku, dan menasihatkan aku menyimpannya di tempat yang selamat. Aku tahu dia risau, tapi rasanya… er… aku tahu apa yang perlu dibuat. Sebabnya? Semenjak kad pengenalanku dikeluarkan, bapaku telah mengamanahkan untukku menyimpan sendiri semua dokumen pentingku. Kata bapa, aku perlu belajar untuk menguruskan dokumen dan tak boleh berharap padanya selalu. Pada masa itu, perhatianku tertumpu pada sekumpulan pelancong California yang riuh-rendah. Aku terlihat kelibat seseorang yang seakan kukenali sebelum ini. Tapi entah di mana.
Kami menunggu dalam masa setengah jam (sebab: ramai orang). Kemudian, sepupuku meminta diri untuk bertolak pulang ke Kota Kinabalu kerana dia perlu menjemput Daddy (ayahnya) dari pejabat. Daddy sangat baik, dan? Satu perkara yang membuatkan aku hormat pada Daddy adalah kerana Daddy memang sangat serupa dengan bapa. Rambut mereka… sikap… dan kesabaran. Daddy jenis orang yang tak suka marah, sama seperti bapa. (kebenarannya: Bapaku dan Daddy adalah adik-beradik… ;D hehe… Daddy tu adik Bapa).
Mak cikku memberitahu yang kami perlu berjalan kaki sedikit ke tempat penginapan. Oleh kerana terlebih semangat, kami semua mula berjalan kaki dalam masa lebih kurang 10-15 minit dari pejabat tadi. Kesemua 7 orang peserta perempuan berkumpul dalam bilik yang sama. Tiga orang peserta lelaki pula di bilik sebelah. Aku dimaklumkan bahawa rakan sebilik mereka merupakan sekumpulan pelancong dan rakan-rakan perempuan pelancong itu pula tinggal di tingkat bawah Asrama Menggilan itu. Bapa menelefonku (aku menggunakan telefon abangku pada masa itu), bertanyakan keberadaan kami. Aku maklumkan yang kami sudah tiba. Bapa mula memberi nasihat sedikit tentang cuaca di taman Negara itu. Aku hanya mendengar dengan teliti.
Kakakku memberitahuku untuk bersiap-sedia. Kami semua agak letih ketika itu, dan rupanya sempat juga mak menitipkan kuih apam beras untuk kami semua melalui kakakku. Mak memang ingat yang aku memang sukakan kuih itu. Terima kasih, mak. Kakak menyalin kesemua kuih itu ke dalam pinggan dan membahaginya kepada dua bahagian dalam nisbah 1:2. Kakak memintaku menghantar satu pinggan kepada tiga orang yang lain di tingkat atas (ketika itu aku berada di dapur di tingkat bawah). Aku menaiki tangga, dan mengetuk bilik mereka.
Tiba-tiba, seorang lelaki (aku agak berusia 18 tahun) membuka pintu. Agaknya dia juga baru tiba dengan rombongan bas pelancong tadi. Aku terkaku seketika… matanya yang berwarna coklat cair itu memandangku. Dia tersenyum, tapi aku mula berasa tak keruan. Bukan apa… aku… TT^TT pada masa itu bahasa Inggerisku masih berada di tahap yang lemah. Mat saleh itu seakan faham, dan dia berkata “Hi Babygirl. Do you want to find someone?”. Aku mengangguk. Dia berjalan mendekati tingkap bilik mereka dan menunjuk keluar. Aku mendekatinya dan melihat sama. Mereka bertiga sedang bergambar di luar! “Oh… hm.. thank you so much, Mister” kataku sambil berlalu pergi. Dia tersenyum sambil membetulkan topinya yang ala-ala topi salji itu. Aku mencari jalan keluar dari asrama itu, dan… wah… pemandangan waktu senja dengan kabus di sekeliling. Tak nampak gunung dengan jelas, tapi cukup berbaloi dengan keadaan yang hampir sama dengan perasaan “aku berada di luar Negara”. Abang Ali membimbingku dan membawaku bergambar bersama. Suara mak cik kedengaran memanggil kami dan kami menjamah makan malam dengan… err… nasi yang kurang masak (disebabkan suhu sejuk) walaupun lauk memang menyelerakan.
Pada malam itu, aku bergegas ke bilik mandi. Aku membuka pintu bilik mandi itu dan ARGH! Aku hampir bertembung dengan mat saleh yang kutemui petang itu. Pada masa itu, aku mula terfikir… adakah aku telah tersalah masuk ke dalam tandas lelaki??!! Nyatalah bukan… sebab setahu aku tandas di tingkat atas itu memang tandas awam (itu pada pandanganku ketika itu, tapi… ??). Dia hanya bertuala saja, dari atas pusat sehingga ke bawah lutut. Kepalanya pula ditutup dengan tuala kecil. Dia tersenyum padaku dan menyapa “Hello, babygirl. We meet again. So, you want to use the shower don’t you?” . Pada masa itu, aku menjawab “Hello. Yeah”. Dia melangkah ke salah satu bilik mandi di situ dan membuka paip air. Dia juga membantuku melaraskan suhu air dan dia menarikku masuk ke dalam bilik mandi itu. “Is this alright for you?” tanyanya sambil membiarkan aku merasa suhu air itu. Aku tersenyum. “So, there you go, baby girl. Later, please be careful if you want to shut it down”. Aku ingat perkataan itu, tapi aku tak tahu maksud keseluruhannya, sampailah aku berada di tingkatan 4. Kemudian, aku hanya mengangguk. Dia memegang kepalaku sebelum berlalu pergi.
Cuaca sangat sejuk pada malam itu. Kepalaku mula berdenyut dan aku putuskan untuk berjalan di luar seketika walaupun sudah mandi dan teringin untuk tidur awal. Aku mengambil baju sejukku dan keluar dari bilik dengan rambut yang masih basah dan terurai. Kebetulan, bapa menelefonku pada waktu itu. Perbualan telefon yang agak singkat, tapi cukup mencabar bagiku. “Babygirl, are you okay? Can’t sleep well?” suara itu memeranjatkan aku. Aku lihat mat saleh tadi duduk di beranda asrama itu, memerhati kearah gunung yang pada ketika itu berkabus.Ternganga seketika sebab dia ada rambut yang cantik, aku menjawab “yeah. Too cold for me”. Dia membiarkan rambutnya terurai… rambut Blonde keemasan yang cantik dan lurus melepasi bahunya. Gaya lelaki budiman Inggeris suatu masa dulu. Aku tiba-tiba jadi segan. Dia memulakan perbualan.
“So, actually you can understand me? I mean, when I’m speaking to you in English”
“Yeah. I do can understand you, Sir”
“Please, you’re so formal you know” (dia tergelak)
“Really? You’re calling me babygirl… but you’re older than me for me to call you babyboy”
“ (LOL) you’re so funny. Ah…just forget about it” (masih gelak lagi)
“Okay”
“So, why you doesn’t speak so much? You may speak with me if you want”
“Thank you so much. I think… yeah… sure. my English language still weak”
“Babygirl, you need to be confident”
Aku tak berkata apa-apa… dan dia hanya merenungku. Entah kenapa, aku seakan mengenalinya. Seakan dia dekat… tapi… ??
Bunyi pintu dibuka ketika itu mengejutkanku. Mak cikku keluar dari bilik dan memintaku untuk masuk berehat. Aku ingat lagi, mat saleh itu sempat berkata “good night, babygirl. Sleep well” kepadaku. Apa yang terjadi pada masa itu, mak cikku meminta aku berhati-hati dengan orang asing (aku terlepas cakap yang aku langsung tak tahu namanya). Ada juga penyesalan di dalam hati pada masa itu sebab aku langsung tak tahu satu apa pun pasal dia.
Keesokan harinya, kakak mengejutkan aku sewaktu subuh. Sejuk betul pada masa itu. Air paip dah boleh tunggu jadi beku rasanya. Kakak memintaku untuk mengemas barang keperluan seminima mungkin untuk aktiviti pendakian. Aku akur. Hanya sebungkus besar coklat dan sepersalinan pakaian saja yang aku masukkan. Jaket? Mestilah aku memakainya awal-awal. Baju hujan pun aku masukkan di dalam beg itu. Habis beg sekolahku jadi mangsa…XD selepas sarapan pagi, kami semua bertolak ke pejabat am dengan berjalan kaki. Sebuah van putih menanti di perkarangan pejabat, dan kami menaikinya. Destinasi kami adalah Mesilau Gate, salah satu laluan pendakian yang tercantik di taman Negara itu. Mesilau Gate yang terletak agak jauh dari taman, dan jaraknya dengan Laban Rata adalah lebih kurang 14 kilometer. Bayangkan, 14 kilometer perlu didaki untuk sampai ke penginapan saja. Tapi… penginapan kami… bukan di Laban Rata. Mak cik memaklumkan yang kami akan tinggal di Gunting Lagadan. Satu perkataan yang aku lontarkan ketika itu adalah “HAH?!”. Itu sebabnya aku sudah sedia maklum yang Gunting Lagadan adalah penginapan terakhir yang terletak agak hampir dengan Sayat-sayat Hut (perhentian terakhir sebelum meneruskan pendakian ke puncak gunung)…jadi? Kesimpulannya: JAUH.
Kami semua tiba di perkarangan Mesilau Jungle Resort tepat jam 7.30 pagi. Tempat itu memang cantik. Aku sempat lagi memasang angan-angan kalau suatu hari nanti aku boleh bercuti di situ. Kakak menarikku untuk menyertai majlis bacaan doa, dan kemudian… kami memulakan pendakian sulung kami. Dan sudah semestinya…err… 3 orang jejaka itu berada jauh di hadapan kami. Aku? Mendaki seorang diri di sepanjang laluan hutan itu (sebab: malas nak tunggu 6 orang yang sibuk bergambar di belakang). Kami berkumpul bila melalui satu kawasan air terjun dan mengisi bekalan air (air itu bersih dan selamat diminum begitu saja). Dua orang peserta lelaki mendahului kami memandangkan mereka membawa bekalan makanan dan barang keperluan yang lain. Aku mengekori mereka dan Abang Ali berada di belakangku. Tapi entah sejak bila aku tinggalkannya dan berjalan seorang diri. Mungkin sebab aku sudah terbiasa begitu… berjalan masuk ke hutan di kampungku seorang diri. Aku sukakan suasana hutan. Aku sampai ke satu pondok betul-betul di tengah hutan. Sempat lagi aku duduk seorang diri dan melihat keadaan sekeliling. Keletihan menyerangku… dan aku berbaring di atas bangku di situ. Tiba-tiba…
Err… entri panjang sangat. Rasanya… bersambung lain kali saja laa ya…hehehe…. Jangan marah aaaaaa…. XD
Tiada ulasan:
Catat Ulasan