Kampung Sulaman, Negara X.
“Ann, mari sini sekejap nak,”
Suara ayahnya mengisi ruang tamu rumah kecil mereka. Ann yang sedang berkemas, terhenti seketika. Bagasi yang masih terbuka, ditinggalkan begitu sahaja. Dia akan bertugas di Bandar Mega dua hari lagi. Bidang perhotelan telah membuka peluang untuknya yang baru sahaja menamatkan pengajiannya dengan kelulusan ijazah kelas kedua. Dia percaya rezeki berada di mana-mana. Ann melangkah keluar dari biliknya seolah-olah ditarik oleh punca suara tersebut. Ayah kini sedang duduk di atas sofa berkulat di ruang tamu rumah itu.
“Ya, ayah?”
“Ann, ayah nak cakap sikit dengan kamu”
Hati Ann dilanda resah. Apa yang hendak dibicarakan oleh ayahnya itu? Ibu muncul dengan menatang dulang yang berisi sejag teh dan beberapa biji cawan kosong. Ann membantu ibunya mengisi air tersebut ke dalam semua cawan. Ayah senyap, namun raut wajah tua itu tidak mampu menyembunyikan kerunsingannya. Ketika itu, hanya kedengaran bunyi kanak-kanak bermain di halaman rumah. Aroma pisang goreng menerpa hidung masing-masing yang berada di rumah itu. Ibu menjeling ayah, seperti mengatakan “nanti dulu” dan berlalu pergi ke dapur. Beberapa minit kemudian, ibu menatang dulang lagi, kali ini terisi dengan pisang goreng panas yang menyelerakan. Perlahan ibu meletakkan dulang tersebut di hadapan semua yang berada di situ. Ayah berdehem.
“Sebenarnya, ayah cuma nak beritahu kamu. Kamu masih ingat lagi dengan budak Jamil tu?”
“Ingat. Kenapa pula dengan dia ayah?” tanya Ann.
Ayah memandang ibu. Ibu mengangguk.
“Begini, sebulan yang lepas sebelum majlis konvokesyen kamu tu, emak dan ayahnya datang kemari. Bertanyakan tentang kamu. Katanya hendak merisik khabar, kalau-kalau kamu dah berpunya. Ayah kata yang kamu tu masih sendirian lagi. Emak dan ayah Jamil tu katanya nak datang lagi bulan depan, nak masuk meminang”
Ann tak dapat berkata apa-apa. Ibu dan ayahnya kelihatan bersemangat bila bercerita mengenai Jamil. Ann yang berkawan dengannya sejak berada di tingkatan enam dulu masih belum mengenali jejaka itu sepenuhnya.
“Kamu tak suka?” Tanya ibu secara tiba-tiba.
“Bukan begitu, bu. Tapi Ann fikir lebih baik fikirkan soal pekerjaan dulu. Ya lah, kita pun datang dari keluarga yang kurang berkemampuan” jawab Ann.
“Kenapa pula? Kalau kamu berkahwin, Jamil tu boleh sara kamu. Sekurang-kurangnya, taklah kami risaukan keselamatan kamu nanti” kata ayah.
Ann hanya membisu. Dia sudah dapat menduga fikiran orang tuanya. Mereka terlalu sibuk memberitahunya mengenai Jamil, jejaka yang agak popular semasa dia bersekolah dulu. Apa yang selau menyapa cuping telinganya adalah kenyataan seperti “Jamil tu budak baik, solat tak tinggal”, “Jamil tu hormat ibu bapa”. Baginya itu semua tak boleh dipercayai selagi dia tidak melihatnya sendiri.
“Kalau boleh, nanti beritahu kami bila kamu dapat cuti dari syarikat tempat kamu bekerja tu. Senanglah ayah nak menjemput kamu balik” tegas ayah.
Ann hanya mengangguk. Dia cuba berfikiran positif, tapi dalam masa yang sama juga tidak bersetuju dengan permintaan kedua orang tuanya itu. Dia memutuskan untuk berdiam diri dahulu. Petang itu dirasakan amat lambat berlalu bila orang tuanya asyik bercerita mengenai Jamil di hadapannya. Memuji jejaka itu bersungguh-sungguh. Tetapi baginya, semua itu tak penting. Terikat dengan tali pertunangan akan menimbulkan masalah kepadanya, tambahan pula kata orang bertunang itu banyak halangannya. Ann kemudiannya meminta diri untuk terus berkemas.
*********************************************************************
Lovelia Winterville (Robinson’s Manor), Negara S.
“Lord Robinson, terima kasih atas kerjasama anda. Saya sangat gembira yang anda akan berkunjung ke tempat saya” kata seorang lelaki pertengahan umur sambil berjabat tangan dengan aristokrat Negara S itu.
“Itu bukan masalah besar, Datuk. Saya juga amat gembira dapat bekerjasama dengan anda, sahabat lama. Agak lama juga saya tidak berkunjung ke sana. Rasanya seperti baru semalam kita bersua” balas Lord Robinson dengan senyuman mesra.
“Ya… itu sudah tentu. Isteri saya meminta maaf kerana tidak dapat datang bersama kali ini. Pak Cik Ahmad kini berada di rumah kami. Anda tentu kenal dengan beliau kan?”
“Ahmad… ya, saya masih ingat dengan beliau. Tukang kebun rumah anda yang agak berusia itu. Tentu beliau sudah berusia 80 tahun bukan?”
“Ya. Kasihan beliau… anak-anaknya tidak mempedulikannya lagi. Isteri saya sudah menganggapnya seperti ahli keluarga kami. Maklumlah, jasa beliau sejak berkhidmat dengan ayah saya dulu pun sudah banyak. Isteri saya pula anak yatim piatu”
“Bercakap mengenai anak, anda tidak terfikir untuk mempunyai seorang ke Datuk Hamzah?” Tanya Lord Robinson tiba-tiba. Lelaki yang dikenali sebagai Datuk Hamzah itu hanya tergelak.
“Tak ada rezeki, Lord Robinson. Dah puas berusaha tapi masih juga macam ni. Bagaimana dengan anda? Tak terfikir untuk berkahwin lagi?” balasnya kembali.
Lord Robinson hanya mampu tersenyum.
“Saya hanya mencintai Lady Claire seorang saja dan dia takkan ada penggantinya”
“Saya faham. Anda memang seorang yang budiman” kata Datuk Hamzah.
“Jadi, berbalik kepada persoalan asal kita. Bagaimana jika saya menginap di salah satu hotel anda?”
“Ah… itu sudah tentu. Saya akan berikan bilik presiden untuk anda”
“Jangan risau, bagi saya mana-mana pun boleh. Asalkan tidak terkena dengan hujan atau ditiup dengan angin ribut sudahlah”
Mereka tergelak bersama-sama.
***********************************************************************
Bandar Mega, Negara X.
Ann kini dalam perjalanan ke Hotel H.M Harmoni. Dia yang baru sahaja dihantar oleh ahli keluarganya ke rumah sewa, tergopoh-gapah bersiap untuk menghadiri sesi perkenalan dengan pekerja baru yang lain. Barang-barang miliknya dibiarkan begitu sahaja sementara waktu. Dia siap mengenakan uniform pekerja hotel, dan menaiki teksi untuk segera sampai ke hotel tersebut. Dalam masa kurang daripada setengah jam, Hotel H.M Harmoni berdiri megah di hadapan matanya. Dia membayar tambang teksi yang dinaikinya dan bergegas memasuki bangunan hotel. Syukur, dia selamat tiba sebelum majlis suai kenal bermula.
“Hai. Awak pekerja baru hotel ni ke?” sapa seorang gadis. Ann terfikir yang gadis itu mungkin pekerja baru di situ juga.
“Hai. Ya” jawab Ann sambil tersenyum.
“Ah… saya dah agak! Nama saya Eliza” katanya sambil menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan Ann. Ann menyambut mesra salam itu.
“Saya Anna Mariah” katanya lagi sambil tersenyum.
“Nama awak cantik” kata Eliza.
“Terima kasih. Ibu saya yang berikan nama itu. Katanya, dia meminati lagu Mariah Carey”
Ketawa mereka berderai ketika itu. Seorang wanita yang kelihatan agak tegas kemudian memanggil mereka menyertai beberapa orang pekerja yang lain untuk sesi suai kenal. Ann hanya menurut. Mereka semua menghadiri majlis jamuan kecil bersama dengan pemilik hotel, iaitu Datuk Hamzah sendiri. Apabila terlihat Ann, Datuk Hamzah kelihatan seolah-olah mengenalinya. Namun, Ann hanya berdiam diri dan tersenyum pada beliau. Majlis itu siap sebelum maghrib. Eliza telah dijemput oleh suaminya, dan beberapa orang pekerja baru yang lain juga telah pulang dengan menaiki bas. Mereka hanya akan memulakan tugas mereka pada keesokan hari. Masih banyak tugasan lagi yang perlu dibuat oleh Ann.
Sebuah limosin hitam tiba di perkarangan hotel. Seorang lelaki muda yang kelihatan seperti seorang butler keluar dari limosin dan membuka pintu. Lelaki pertengahan umur yang keluar dari limosin itu kelihatan segak. Nampak gayanya, beliau datang dari jauh. Bendera kedutaan pada limosin saja menjadi bukti kukuh. Butler dan lelaki itu melambai kea rah pemandu, kelihatan seperti mengucapkan selamat tinggal. Limosin hitam itu bergerak pergi selepas butler dan pemandunya mengeluarkan beberapa buah bagasi dari dalam but limosin. Seorang pekerja hotel mengangkat bagasi-bagasi tersebut ke dalam troli lalu menolak troli itu masuk ke dalam hotel, diiringi oleh lelaki yang kelihatan seperti butler ke ruang legar hotel atas arahan lelaki separuh umur tadi.
Sebuah kereta berwarna keperakan meluncur laju di perkarangan hotel. Ann yang melihat situasi tersebut, mengambil tindakan pantas menyelamatkan lelaki separuh umur tadi. Lelaki itu terjatuh di atas batas bunga hotel, manakala Ann tercedera. Kereta itu tidak berhenti, malah meluncur pergi begitu sahaja. Beberapa orang pengunjung yang berada di situ juga tergamam. Pos keselamatan berada agak jauh dari hotel memandangkan kawasan hotel agak luas.
“Miss, you’ve been injured!” kata lelaki separuh umur itu. Dia tergamam apabila melihat Ann, sambil menyebut sesuatu yang kurang jelas berbunyi “Claire”. Ann yang tidak peduli lagi tentang apa yang dikatakan lelaki tadi, bertanya kembali.
“Sir, are you okay?”
“I’m fine. You just save my life” katanya lagi.
Ann melihat Datuk Hamzah dan butler tadi bergegas menuju ke tempat mereka. Datuk Hamzah terkejut. Pantas saja beliau menelefon ambulans. Butler tadi berkata sesuatu kepada lelaki separuh umur tadi.
“Ah… anda baik?” Tanya Datuk Hamzah kepada lelaki tadi.
“Ya, saya baik-baik saja. Tapi gadis ini…”
“Lo…” Datuk Hamzah tidak dapat menghabiskan kata-katanya kerana butler tadi telah memberi amaran.
“Syhh… please do not mention about it here” kata butler tersebut.
“I see, Mr. Alfred”
Ann hanya mendengar perbualan itu sayup-sayup. Pandangannya mulai kabur. Kemudian, gelap.